Akibat Penggunaan Ubat Jualan Langsung?

Akhbar Makkal Osai bertarikh 29 Mac 2012 telah melaporkan mengenai seorang wanita berumur 41 tahun yang mengalami kesan advers kulit berbintik putih pada seluruh badannya selepas menggunakan produk jualan langsung Syarikat DXN Marketing Sdn Bhd keluaran DXN Pahrmaceuticals Sdn Bhd Malaysia iaitu GL, DXN Spirulina Tablet, Morinzhi dan Ganozhi Shampoo.
Kesan tersebut mula dialami setelah tiga (3) bulan beliau mula menggunakan produk-produk tersebut. Menurut beliau juga pada mulanya rambut telah bertukar menjadi putih, kulit mengalami kegatalan dan lama-kelamaan bintik-bintik putih merebak ke seluruh badan. Pengadu juga telah ke Hospital Tapah untuk mendapatkan rawatan dan dirujuk ke Klinik Pakar Dermatologi, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan susulan.

Semakan yang dibuat dengan HRPB mendapati pesakit telah didiagnoskan mengalami penyakit Vitiligo iaitu sejenis penyakit autoimmune dan telah menerima rawatan untuk beberapa kali bagi penyakit tersebut sejak tahun 2004. Namun demikian, beliau telah berhenti mendapatkan rawatan apabila mendapati mengandung pada tahun 2009.

Ganocelium GL (MAL19988569T) dan Spirulina (MAL04112691T) merupakan produk-produk tradisional yang telah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Malaysia sementara produk Ganozhi Shampoo (NOT110904912K) adalah produk kosmetik bernotifikasi manakala Morinzhi adalah sejenis minuman dan tidak dikawal oleh PBKD.

 

Sehingga kini Pusat Pemonitoran Kesan Advers ubat Kebangsaan, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) belum menerima sebarang laporan kesan advers melibatkan keempat-empat produk tersebut. Namun demikian, produk Spirulina tablet telah dianalisis di bawah Program Pengawasan Mutu Produk Berdaftar pada tahun 2005 dan didapati ia lulus semua ujian yang telah ditetapkan.

 

Orang awam adalah dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan sebelum membeli sebarang produk jualan langsung dan melaporkan sebarang kesan yang tidak diingini akibat penggunaan produk-produk berkenaan kepada Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, BPFK melalui emel bpfk@bpfk.gov.my.

sumber: moh.gov.my

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

IKLAN