Anak VVIP didakwa ekoran kes serang peninju negara

20120625-214823.jpg

Seorang anak kenamaan bersama seorang lagi rakannya dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sinihari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap peninju negara, Muhamad Farkhan Mohd Haron, 24.

Tunku Nick Tazuddin Izwan Syah Tunku Qadir, 27, dan Alex Foo Hee Wee, 41, bersama empat lagi yang masih bebas dituduh sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Muhamad Farkhan pada 6 Mei lalu.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu pada tarikh berkenaan antara jam 4.30 pagi hingga 7 pagi di Jalan Molek 3/2, Taman Molek di sini, dengan menggunakan senjata tumpul.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Mohamad Isa Mohamad Basir kelihatan tenang ketika dibawa masuk ke kamar pertuduhan dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadap mereka.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Dzul Iswari Mohd Jaafar mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Sementara itu, Hakim Zamri Bakar menetapkan tarikh 12 Julai ini sebagai sebutan semula kes dan jaminan sebanyak RM12,000 bagi setiap tertuduh.

-SH

20120625-215638.jpg

“Saya tidak pernah berdepan situasi cemas sebegitu. Memang saya peninju, namun tidak pernah terbabit pergaduhan berkumpulan.

“Mereka menyerang saya menggunakan pelbagai senjata dan melanggar saya menggunakan kereta ketika saya melarikan diri,” kata peninju negara, Muhamad Farkhan Mohd Haron, 24, menceritakan detik mencemaskan dipukul enam lelaki dan seorang wanita di sebuah rumah di Taman Molek di sini, 6 Mei lalu.

Muhamad Farkhan ditemani bapa saudara, Mohd Kamaruzaman Ismail dan sepupunya, Ashraf Jamaluddin, 24, mengadakan sidang media di bangunan Majlis Sukan Negara (MSN) Johor di sini, semalam, bagi menerangkan kejadian sebenar selepas mendapati beberapa laporan mengenai kejadian menimpanya itu kurang tepat.

Selain itu, peninju negara berkenaan terpaksa melupakan hasrat beraksi di Olimpik London selepas diarahkan berehat selama enam bulan akibat tulang pipi kanannya hancur dalam serangan itu.

Muhamad Farkhan berkata, ketika kejadian dia baru selesai menonton perlawanan akhir Piala FA Inggeris antara Chelsea dan Liverpool sebelum menerima panggilan telefon daripada suspek yang menjemputnya ke rumah di Taman Molek bagi membincangkan masalah.

“Saya tiba di rumahnya jam 4 pagi dan sejurus memasuki rumah, saya diserang enam lelaki dan seorang wanita berusia lewat 20-an masing-masing bersenjatakan kayu, tongkat rotan, besi dan pedang samurai.

“Pada mulanya saya berjaya melarikan diri, namun ada penyerang melanggar saya menggunakan kereta sebelum kaki dan tangan diikat serta dihumban dalam bonet kereta sambil saya terus dipukul,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan pihaknya menunggu arahan lanjut bagi mendakwa dua suspek yang ditahan.

-HM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

IKLAN