KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri akan mengeluarkan kad identiti i-Kad kepada semua pekerja asing di negara ini bermula selewat-lewatnya 15 November ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengeluaran i-Kad itu akan dilakukan secara berperingkat kepada 2.5 juta pekerja asing yang ada di negara ini.
“Selepas i-Kad dikeluarkan pihak berkuasa akan terus melakukan operasi bagi mengesan pendatang asing…i-Kad ini berfungsi untuk membezakan pekerja yang sah dan yang tidak sah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, i-Kad itu akan dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang canggih termasuk elemen biometrik dan kod bar, sekali gus memudahkan tugas pegawai penguat kuasa imigresen.
Katanya i-Kad itu juga akan dikeluarkan dalam pelbagai warna mengikut sektor pekerjaan warga asing terbabit.
Kos i-Kad ini ditanggung oleh pekerja dan untuk mendapatkan i-Kad pekerja asing terbabit perlu ke Jabatan Imigresen Malaysia, katanya.
Menurut Ahmad Zahid, i-Kad akan turut diperkenalkan kepada pelajar asing, pemegang lesen senjata api serta sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia. – Bernama
Posted from WordPress for Android
