Posts in category berita

MYTV akan berikan 80 siaran TV dan 40 saluran radio percuma tidak lama lagi

MYTVRTM menjalinkan kerjasama dengan MYTV Broadcasting Sdn Bhd, anak syarikat firma telekomunikasi Altel Holding milik Tan Sri Syed Mokhtar Bukhari akan melancarkan siaran TV baru yang akan menandingi Astro. Jangkaan sebanyak 98% bentuk muka bumi Malaysia akan diliputi siaran digital (DTTB). Berita baiknya 80 siaran TV dan 40 saluran radio akan dipancarkan secara percuma pada penduduk Malaysia dengan 45 daripada siaran TV nya berdefinisi tinggi (HD). Penduduk Malaysia akan dibekalkan dekoder berharga RM200 untuk menerima siaran. Pada rakyat miskin yang menerima BR1M akan dibekalkan dekoder percuma. Sebanyak 2 juta Set Top Box (STB) akan disediakan secara percuma untuk peringkat awal penyiaran ini.  Program dan projek ini akan bermula bulan Jun 2015 dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang akhir tahun 2017.

 

Semasa majlis menandatangani MOU, Dato’ Ahmad Shabery menekankan bahawa perubahan lanskap penyiaran digital akan mengurangkan kos penyiaran. Malah, penyiar sedia ada & pemilik saluran yang berpotensi boleh memberi tumpuan kepada kualiti kandungan yang diterbitkan. Penyiaran analog akan ditutup secara berperingkat. Ini akan memberi ruang spektrum yang ditinggalkan, akan boleh digunakan untuk penyiaran dalam bentuk lain.

 

Majlis perjanjian itu telah disaksikan oleh YB Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Komunikasi dan Multimedia. MYTV diwakili oleh Nik Abdul Aziz Nik Yaacob, CEO MYTV manakala TM diwakili oleh Naib Presiden Eksekutifnya, En Wan Ahmad Kamal Wan Halim. Turut menghadiri majlis bersejarah ini ialah Pengerusi SKMM, Dato’ Mohamed Shahril Mohamed Tarmizi; Pengerusi TM, Dato’ Sri Dr. Halim Shafie dan juga Pengarah MYTV, Dato’ Hilmi Mohd Noor.

 

 

Muzium seni 3D kedua terbesar didunia terletak di Malaysia

muzium 3d art langkawiLANGKAWI: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini merasmikan Muzium 3D Art of Paradise Langkawi yang merupakan muzium seni tiga dimensi yang kedua terbesar di dunia.

Terletak di Oriental Village, muzium yang memiliki keluasan ruang pameran hampir 2,000 meter persegi dalam bangunan tiga tingkat, terbahagi kepada sembilan zon yang meliputi ilusi optik, akuarium, safari, interaktif 1 dan 2, fantasi, klasik, zon tema Mesir, istana lama dan pemandangan serta zon Malaysia.

Muzium yang mendapat pengikitirafan sebagai muzium terbesar seumpamanya itu oleh Malaysian Book of Records mempamerkan lebih 100 buah lukisan besar tiga dimensi yang dihasilkan 23 orang pelukis pakar dari Korea dengan kerjasama pelukis tempatan.

Bercakap kepada media selepas majlis itu, Dr Mahathir menyifatkan muzium itu sebagai satu kejayaan baharu untuk mempromosikan aktiviti pelancongan khususnya di Oriental Village, di mana terletaknya perkhidmatan kereta kabel yang begitu popular dalam kalangan pelancong.

“Sementara menunggu giliran (untuk menaiki kereta kabel), maka dia (pengunjung) boleh pergi melihat bermacam-macam pertunjukan (seni 3D) yang ada di sini,” katanya.

Semasa berucap di majlis perasmian itu, Dr Mahathir yang juga penasihat Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) berkata kejayaan yang dicapai industri pelancongan Malaysia adalah hasil dari penciptaan produk yang dapat menarik pengunjung ke negara ini.

Katanya Malaysia tidak mempunyai tamadun lama terkenal seperti di Mesir yang dapat menarik ramai pelancong, namun kebolehan mencipta produk pelancongan unik telah menjadikan negara ini antara destinasi pelancongan utama.

muzium 3d art muzium 3d

Sementara itu,  Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Tan Sri Khalid Ramli berkata projek Muzium 3D itu telah mengambil masa hanya lima bulan untuk disiapkan dan telah mulai dibuka kepada orang ramai bermula 31 Jan lepas.

Menurutnya LADA juga sedang berusaha untuk membina sebuah muzium coklat selain menambahkan aktiviti rekreasi lain di kawasan Oriental Village yang telah berjaya menarik kira-kira 1.5 juta orang pengunjung tahun lepas.

Sumber: Awani

Laluan LPT Cheneh ke Jabor kini dibuka

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) — Jajaran projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) dari persimpangan Jabor sehingga persimpangan Cheneh di Terengganu dibuka kepada awam mulai hari ini bagi memudahkan pengguna pulang berhari raya.

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof dalam kenyataannya di sini Isnin berkata pembukaan laluan sepanjang 26 kilometer itu juga diharap dapat mengurangkan kesesakan trafik menuju ke pantai timur.

“Kerajaan komited dalam menyegerakan penyiapan beberapa jajaran yang masih dalam pembinaan iaitu dari persimpangan Cheneh ke persimpangan Chukai dan dari persimpangan Kerteh ke persimpangan Paka.

“Kerajaan yakin bahawa jajaran ini dapat dibuka secara berperingkat sebelum penghujung September ini,” katanya.

Katanya LPT2 sepanjang 184km merupakan satu daripada projek infrastruktur berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh yang telah menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi masyarakat setempat dan negara ke arah mencapai status negara maju menjelang 2020.

LPT2 mula dibuka kepada orang ramai pada 22 Ogos 2011, dan sehingga 25 Jan 2014, kerajaan telahpun membuka sebahagian jajaran sejauh 104km dari persimpangan Kuala Terengganu ke persimpangan Paka.

— BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

IKLAN