Posts in category pekeliling

Dasar pemisah atau exit polisi kakitangan awam

Pekeliling terbaru perkhidmatan awam, iaitu Pekeliling Perkhidmatan Bil 7 Tahun 2015 telah dikeluarkan. Dalam polisi ini menyatakan, penjawat awam yang mempunyai kurang daripada 60% akan diberhentikan dari tugas.  Atau bahasa mudahnya, “kena pecat” demi kepentingan awam dan negara. Pekeliling ini berkuatkuasa bermula 19 November 2015 iaitu bermula prestasi tahun ini (2015). Berikut pekeliling tersebut

jpaPekeliling Perkhidmatan Bil 7 Tahun 2015

PELAKSANAAN DASAR PEMISAH (EXIT POLICY) BAGI PEGAWAI YANG BERPRESTASI RENDAH DALAM PERKHIDMATAN AWAM

Antara intipati pekeliling perkhidmatan ini adalah :

1. Pekeliling ini bertujuan memaklumkan keputusan Kerajaan untuk memperkenalkan dasar pemisah (exit policy) Dan kaedah pelaksanaannya bagi pegawai yang berprestasi rendah.

2. Bagi maksud pelaksanaan pekeliling ini, ‘Berprestasi rendah’ bermaksud Markah LNPT kurang daripada 60%.

3. Bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam tidak terjejas, Kerajaan akan mengambil tindakan untuk mengeluarkan pegawai berprestasi rendah daripada perkhidmatan awam. Tindakan ini dilaksanakan melalui penamatan perkhidmatan demi kepentingan awam di bawah Peraturan 49, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

4. Penamatan dibuat setelah mengambil kira prestasi, kelakuan, nilai-nilai kebergunaan pegawai kepada perkhidmatan, kegagalan pegawai memenuhi apa-apa syarat perkhidmatan dan segala hal keadaan lain.

5. Bagi maksud permulaan dasar pemisah ini, ia bermula daripada penilaian LNPT bagi tahun 2015.

Berkuatkuasa mulai 19 Nov 2015.

Tiada Sekolah Ganti Sempena Cuti Banjir

matrikulasi kpm

KENYATAAN MEDIA

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

HARI GANTI PERSEKOLAHAN TAHUN 2015

 

Adalah dimaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memutuskan penangguhan sesi awal persekolahan bagi tahun 2015 akibat bencana banjir yang melanda negara menerusi Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 24 Tahun 2014; Penangguhan Tarikh Mula Sesi Persekolahan Tahun 2015;bertarikh 29 Disember 2014. Penangguhan ini dibuat setelah mengambilkira;

a.            Sekolah-sekolah yang terlibat sama ada sebagai Pusat Penempatan Sementara (PPS) atau ditenggelami air akan mengambil masa untuk dipulihkan; dan

b.            keadaan guru-guru, ibu bapa dan murid yang menjadi mangsa banjir serta serba kekurangan perlu mengambil masa untuk pemulihan dan membuat persiapan persekolahan mereka.

KPM ingin menegaskan bahawa tarikh bagi hari-hari penangguhan persekolahan akibat banjir seperti terkandung dalam surat siaran tersebut adalah tidak perlu diganti kerana bukan dianggap sebagai cuti. Tempoh tersebut bermaksud tempoh pemulihan kepada semua pihak akibat bencana banjir dan dianggap sebagai hari bekerja. Pihak KPM berharap dengan penjelasan ini dapat menyelesaikan kekeliruan yang timbul  dalam kalangan pentadbir sekolah, guru-guru dan ibu bapa.

 

Terima kasih.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

6 Ogos 2015

 

SUMBER : http://moe.gov.my/v/pemberitahuan-view?page=1&id=4894

Pekeliling terbaru berkaitan Cuti Tanpa Rekod Bagi Kematian Ahli Keluarga Terdekat

jata negara malaysiaJabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan pekeliling terbaru berkaitan Cuti Tanpa Rekod Bagi Kematian Ahli Keluarga Terdekat. Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2015 ini seterusnya MEMBATALKAN Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2002.

Pekeliling terbaru ini memperuntukkan 3 hari cuti kepada penjawat awam untuk urusan berkaitan kematian ahli keluarga terdekat.

Dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil. 10/2002, ahli keluarga terdekat terdiri daripada suami atau isteri, anak-anak serta ibu dan bapa kandung kepada pegawai berkenaan sahaja, tetapi dalam pekeliling terbaru ini, Cuti Tanpa Rekod tersebut diperluas  kepada urusan kematian ibu dan bapa mentua, ibu dan bapa angkat yang sah di sisi undang-undang serta anak angkat (termasuk anak angkat de facto dan anak pelihara) yang sah di sisi undang-undang.

Jika kematian pada waktu pejabat, hari tersebut dikira sebagai hari pertama, manakala jika selepas waktu pejabat, hari berikutnya adalah dikira sebagai hari pertama.

Pekeliling ini telah berkuatkuasa bermula 1 Julai 2015 yang lepas.

__________________________________________________

KERAJAAN MALAYSIA PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 4 TAHUN 2015 KEMUDAHAN CUTI TANPA REKOD BAGI URUSAN KEMATIAN AHLI KELUARGA TERDEKAT

TUJUAN

1. Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan melaksanakan keputusan Kerajaan berkaitan dengan penambahbaikan kemudahan Cuti Tanpa Rekod bagi urusan kematian ahli keluarga terdekat kepada pegawai Perkhidmatan Awam. LATAR BELAKANG.

2. Kemudahan Cuti Tanpa Rekod bagi urusan kematian ahli keluarga terdekat diperuntukkan kepada pegawai Perkhidmatan Awam selama tiga (3) hari untuk menziarahi jenazah dan membantu urusan berkaitan dengan kematian ahli keluarga terdekat yang dilaksanakan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2002 (PP Bil. 10/2002).

3. Mengikut PP Bil. 10/2002, ahli keluarga terdekat terdiri daripada suami atau isteri, anak-anak serta ibu dan bapa kandung kepada pegawai berkenaan. Oleh itu, selaras dengan hasrat untuk menjaga kebajikan pegawai Perkhidmatan Awam, Kerajaan telah menambah baik pelaksanaan kemudahan Cuti Tanpa Rekod tersebut dengan memperluas kemudahan ini kepada urusan kematian ibu dan bapa mentua, ibu dan bapa angkat yang sah di sisi undang-undang serta anak angkat (termasuk anak angkat de facto dan anak pelihara) yang sah di sisi undang-undang.

TAFSIRAN

4.    Dalam Pekeliling Perkhidmatan ini –

ahli keluarga terdekat’ bermaksud suami, isteri, ibu kandung atau ibu angkat1 , bapa kandung atau bapa angkat2 , ibu mentua, bapa mentua, anak kandung, anak angkat yang sah di sisi undang-undang, anak angkat de facto dan anak pelihara.

anak angkat’ bermaksud seseorang anak yang telah dibenarkan oleh Mahkamah untuk diangkat atau diangkat semula3 .

anak angkat de facto’ bermaksud seseorang kanak-kanak itu berada dalam jagaan, sedang dibesarkan, ditanggung dan dididik oleh pegawai sebagai anaknya di bawah sesuatu pengangkatan de facto, dan bagi suatu tempoh tidak kurang daripada dua (2) tahun yang berterusan dan sebelum sahaja dari tarikh permohonan tersebut di bawah seksyen 6, Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 (Akta 253).

anak pelihara’ bermaksud seseorang kanak-kanak yang diberi pemeliharaan, jagaan dan kawalan kepada ibu bapa peliharaan di bawah perenggan 30(1)(e) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611). ‘bapa angkat’ bermaksud bapa kepada anak angkat seperti diperuntukkan di bawah Akta 257. ‘bapa mentua’ bermaksud bapa kepada isteri atau suami yang sah

‘ibu angkat’ bermaksud ibu kepada anak angkat seperti yang diperuntukkan di bawah Akta 257.

ibu mentua’ bermaksud ibu kepada isteri atau suami yang sah.

Ketua Jabatan’ bermaksud seseorang pegawai yang bertanggungjawab bagi sesuatu kementerian, jabatan, institusi atau agensi dan termasuklah mana-mana pegawai yang diberi kuasa untuk meluluskan Cuti Rehat bagi kementerian, jabatan, institusi atau agensi.

perkhidmatan Kerajaan’ bermaksud Perkhidmatan Awam Persekutuan, Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun (Persekutuan dan Negeri) dan Pihak Berkuasa Tempatan.

 

PELAKSANAAN

5. Kemudahan Cuti Tanpa Rekod bagi urusan kematian ahli keluarga terdekat hendaklah dilaksanakan seperti yang berikut:

(i) kemudahan ini diberikan selama tiga (3) hari berturut-turut sebagai Cuti Tanpa Rekod kepada pegawai Perkhidmatan Awam untuk membuat apa-apa urusan pengebumian jenazah ahli keluarga terdekat itu dan untuk membantu waris-waris jenazah tersebut untuk urusan-urusan lain yang berkaitan;

(ii) bagi maksud kemudahan yang diperuntukkan untuk urusan kematian ibu mentua atau bapa mentua, kemudahan ini adalah terhad bagi seorang ibu mentua dan seorang bapa mentua sahaja sepanjang tempoh perkhidmatan Kerajaan;

(iii) Cuti Tanpa Rekod ini hendaklah-

(a) bermula pada tarikh kematian ahli keluarga terdekat atau pada hari berikutnya jika ahli keluarga berkenaan meninggal dunia selepas waktu pejabat; dan

(b) meliputi hari rehat mingguan, hari kelepasan mingguan dan hari kelepasan am. Bagi maksud Pekeliling ini, masa selepas waktu pejabat juga terpakai bagi hari rehat mingguan, hari kelepasan mingguan dan hari kelepasan am.

(iv) kemudahan ini adalah tertakluk kepada kepentingan perkhidmatan dan Ketua Jabatan boleh memanggil balik pegawai jika ketiadaan pegawai di tempat kerja boleh memudaratkan keselamatan negara atau kepentingan awam;

(v) permohonan Cuti Tanpa Rekod ini hendaklah dikemukakan kepada Ketua Jabatan dengan menggunakan Borang Kemudahan Cuti Tanpa Rekod Bagi Urusan Kematian Ahli Keluarga Terdekat seperti di Lampiran A berserta salinan dokumen pengesahan kematian ahli keluarga terdekat apabila pegawai kembali bertugas dan hendaklah dicatatkan dalam Buku Rekod Perkhidmatan pegawai; dan

(vi) kemudahan ini turut terpakai kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang diarah bertugas semasa cuti penggal persekolahan atau bertugas semasa penggal persekolahan.

PEMBATALAN

6. Dengan berkuatkuasanya Pekeliling Perkhidmatan ini, maka Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2002 adalah dibatalkan.

TARIKH KUAT KUASA

7. Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai 1 Julai 2015.

PEMAKAIAN

8. Tertakluk kepada pemakaian Pekeliling Perkhidmatan ini oleh pihak berkuasa masing-masing, peruntukan Pekeliling Perkhidmatan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

DOWNLOAD Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2015

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

IKLAN