Gara-gara terlupa tutup api dapur

Lagi kes yang disebabkan oleh sifat manusia yang pelupa, tapi kali ni tidak melibatkan kehilangan nyawa. Perkara begini biasa berlaku, memang sifat manusia itu sendiri tidak boleh lari dari sifat lupa. Sebagai hambaNya, kita hanya mampu berdoa agar perkara sebegini tidak berlaku kepada kita. Namun begitu, setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya. Semoga menjadi pengajaran buat semua.

20120624-222008.jpg

KUANTAN – Gara-gara terlupa menutup api dapur, sepasang suami isteri di Pandan Perdana 1, Batu 8 Jalan Gambang di sini, tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka terbakar dalam kejadian awal pagi semalam.

Turut terbakar, sebuah lagi rumah yang terletak dua meter dari rumah pasangan terbabit.

Rostam Baharom, 50, berkata, pagi itu dia mahu memanaskan makanan tetapi terlupa untuk menutup semula api dapur sebelum keluar bekerja di kilang papan berdekatan.

Menurutnya, dia dan isteri, Maimunah Adas, 50, dimaklumkan rumah mereka terbakar sebaik sahaja tiba di tempat kerja.

“Kami baru sahaja sampai di tempat kerja dan menerima panggilan daripada jiran memberitahu rumah kami terbakar. Kami bergegas pulang, namun semuanya telah musnah termasuk rumah jiran di sebelah,” katanya kepada Sinar Harian.

Isterinya, Maimunah berkata, dia reda dengan kejadian itu walaupun ini bukan kali pertama suaminya terlupa menutup api dapur.

“Perkara dah nak jadi, nak menyesal pun tak berguna lagi. Sebelum ini saya sering mengingatkan suami supaya pastikan semuanya selamat sebelum keluar rumah, tetapi hari ini, kami terus pergi kerja.

“Tiada harta lagi yang tinggal melainkan pakaian yang kami pakai hari ini. Habis semua barang di dalam rumah hangus terbakar,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Safi Adam, 31, berkata, dia tidak menyangka rumah yang didiami bersama suaminya, Yusuf Ramli, 29, selama tiga tahun itu musnah dalam beberapa minit sahaja.

Menurutnya, barang-barang berharga yang disimpan dalam rumah hangus termasuklah kotak yang mengandungi barang kemasnya.

“Sebelum ini saya bawa kotak itu ke tempat kerja kerana bimbang ia hilang jika ditinggalkan di rumah. Tidak sangka pula niat untuk tidak membawanya hari ini telah memusnahkan barang kesayangan saya itu.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Panching, Datuk Mohd Zaili Besar berkata, pihaknya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah memberikan bantuan awal kepada keluarga mangsa untuk meringankan beban mereka.

“Saya harap kedua-dua keluarga ini bersabar dan tabah menghadapi dugaan yang menimpa,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan berkata, dua jentera bomba dari Taman Tas dan satu dari Kuantan bersama kekuatan tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Pihak kami menerima laporan pada jam 8.10 pagi dan 9.52 pagi, di mana kebakaran ini melibatkan dua rumah setinggan.

“Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih lagi dalam siasatan,” katanya.

-sinarharian

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

IKLAN