Hari Ini Dalam Sejarah | Akta 114A dikuatkuasakan

20120814-095311.jpg

Semalam, warga internet mengishtiharkan 14 Ogos sebagai hari “internet Blackout” kerana pindaan akta 114A dikuatkuasakan. Pindaan baru ini dianggap sebagai usaha untuk menyekat kebebasan pengguna internet Jadi, Apakah itu Seksyen 114A?

Seksyen 114 A, “Andaian Fakta dalam Penerbitan”, merupakan pindaan terbaru terhadap Akta Keterangan 1950. Pindaan tersebut yang diluluskan Dewan Rakyat tanpa didebatkan terlebih dahulu pada 18 April 2012 dan melalui Dewan Negara pada 9 Mei 2012. Pindaan ini belum diwartakan lagi.

Seksyen 114 A, yang boleh diguna pakai dalam kes jenayah dan juga sivil, mengandaikan bahawa pemilik, pengendali, hos, editor, pelanggan sesebuah rangkaian atau laman web, atau pemilik komputer atau peralatan mudah alih dianggap bertanggungjawab menyiarkan atau mengulangsiarkan isi kandungan yang terdapat pada rangkaian, laman web atau peralatan terbabit.

Apakah tujuan asal pindaan ini diperkenalkan?

Tujuan asal pindaan ini adalah untuk mengenal pasti individu yang bertanggungjawab ke atas penyiaran dan penyebaran bahan berunsur hasutan di internet.

Bagi pihak berkuasa, proses menjejaki dan mengenal pasti individu yang terlibat dalam penyiaran atau penyebaran bahan berunsur hasutan di internet merupakan sesuatu yang sukar. Individu tersebut dengan mudah mengambil kesempatan menyembunyikan identiti mereka di internet kerana kesukaran pihak berkuasa mengawal internet yang luas dan terbuka. Penyembunyian identiti juga menggalakkan rakyat menyatakan pendapat tanpa rasa takut kepada mana-mana pihak. Selain itu, oleh sebab maklumat mudah berpindah dari satu pihak ke pihak yang lain, pihak berkuasa mengalami kesukaran untuk mengesan individu asal yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat tersebut.

Apakah kekurangan yang ada pada Seksyen 114A?

Pindaan ini jelas mengandaikan kesalahan terletak pada individu yang identitinya diguna pakai dalam penyiaran atau penyebaran maklumat berbentuk hasutan tanpa mengambil kira faktor seperti kecurian identiti dan penggodaman komputer. Kesalahan juga terletak pada pihak yang menyediakan ruangan komen pada blog, forum dan pengendali laman web walaupun maklumat tersebut disiarkan oleh pihak lain.

Pelaksanaan pindaan baru ini boleh mengakibatkan pihak yang tidak terlibat menjadi mangsa. Pindaan ini juga bercanggah dengan prinsip asas keadilan yang menyatakan seseorang tidak bersalah selagi kesalahannya tidak dibuktikan.

Selain itu, undang-undang yang diperkenalkan ini tidak akan dapat memerangi jenayah siber dengan berkesan kerana pindaan ini secara tidak langsung melindungi penjenayah siber dengan meletakkan kesalahan ke atas mangsa mereka yang komputer atau akaun Facebook dan Twitternya digodam.

Apakah implikasi pindaan ini terhadap individu?

Pelaksanaan Seksyen 114 A mempunyai kesan yang luas terhadap setiap pengguna internet yang meliputi pelbagai platform seperti emel dan media sosial. Pindaan ini awal-awal lagi telah meletakkan kesalahan ke atas individu yang memiliki laman web atau peralatan yang mana kenyataan atau isi kandungan berunsur hasutan tersiar. Di bawah Seksyen 114 A, individu atau organisasi yang mengendali, menyelia atau menyediakan ruang untuk forum, blog atau perkhidmatan pengehosan web adalah bertanggungjawab terhadap segala kandungan yang terdapat dalam perkhidmatan terbabit. Mereka juga bertanggungjawab terhadap kandungan yang diterbitkan oleh pihak lain yang menyamar menggunakan identiti mereka di internet. Hasilnya, Seksyen ini mengancam kebebasan bersuara di internet, serta mengancam prinsip asas keadilan, demokrasi dan hak asasi manusia.

Mengapa kebebasan bersuara di internet perlu dipertahankan?

Perkongsian maklumat yang bebas dan terbuka merupakan asas bagi sebuah sistem demokrasi yang kukuh. Hal ini memastikan rakyat sentiasa dibekalkan dengan maklumat yang tepat supaya mereka dapat memainkan peranan yang aktif dalam proses demokrasi di negara ini. Internet yang mampu mempercepatkan proses penyampaian maklumat berkemampuan untuk melancarkan proses demokrasi. Justeru, rakyat perlu menggunakan hak bersuara mereka tidak kira dalam apa jua bentuk termasuk di internet. Suara rakyat perlu didengar. Oleh itu, jika Seksyen 114 A yang baru ini dilaksanakan, prinsip demokrasi serta kebebasan bersuara rakyat akan terjejas teruk.

-amanz.my

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Similar posts
  • Suhakam Gesa Kerajaan Kaji Semula Sek... KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan supaya mengkaji semula, meminda atau memansuhkan Seksyen 114A Akta Keterangan (Pindaan) (No 2) 2012 kerana melanggar prinsip asas undang-undang bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam berkata undang-undang baru itu turut melanggar hak kebebasan bersuara [...]

No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

IKLAN