Jangan busuk hati

KITA selalu mendengar orang berkata: “Hah, dia tu memang busuk hati.” Atau mungkin juga kita pernah mendengar ungkapan ini: “Kau janganlah lembut hati sangat, nanti kepala kau tu dipijak-pijakkannya.”

20120927-205006.jpg

Demikian dua contoh bagaimana ujaran perkataan hati digunakan dalam masyarakat kita.

Ini menunjukkan hati merupakan alat atau organ paling isitimewa sehingga banyak kata bidalan atau pepatah yang menggunakannya sebagai lambang kepada situasi manusia dan untuk menunjukkan watak seseorang.

Hati bolehlah diibaratkan suis kepada pergerakan anggota badan yang lain.

Jika baik dan elok hati itu berfungsi maka akan baik dan cantiklah persembahan yang ditunjukkan oleh anggota badan lain.

Dengan kata lain, apa saja yang dilakukan manusia sama ada berbentuk kebaikan atau kemaksiatan, semuanya berpunca daripada hati.

Hati umpama raja yang yang mengarahkan seluruh anggota badan yang lain supaya mengikut perintahnya.

Abu Hurairah mengatakan: “Hati umpama raja dan anggota badan sebagai pengawalnya. Apabila raja memerintah dengan baik, pengawalnya tentulah bertugas dengan baik juga.

“Apabila rajanya melakukan sesuatu yang tidak baik, sudah tentu pengawalnya pun begitu juga.”

Rasulullah s.a.w juga banyak memperkatakan mengenai hati yang antara lain, tegas Baginda: “Ketahuilah sesungguhnya di dalam tubuh ada segumpal daging. Apabila ia baik, jadi baiklah seluruh badannya dan sekiranya buruk, maka buruklah semuanya. Ketahuilah ia adalah hati.” (Hadis direkod Bukhari dan Muslim)

Malah, jika kita teliti beberapa tokoh bukan Islam di Barat juga ada yang menyetujui bahawa hati memainkan peranan utama kepada sahsiah peribadi manusia.

Contohnya dalam buku yang berjudul ‘Heart, Self and Soul’ oleh Robert Frager mengungkap: “Hati adalah kuil yang Tuhan tempatkan dalam diri setiap manusia. Sebuah kuil bagi menampung percikan Tuhan di dalam diri kita.

“Kuil dalam diri kita itu lebih berharga daripada kuil yang paling suci di manapun di muka bumi ini. Oleh sebab itu, melukai hati manusia lebih besar dosanya berbanding merosakkan tempat suci di dunia ini.”

Anda setuju dengan pendapat beliau ini?

Sama ada kita bersetuju atau tidak dengan wacana fikir Frager berkenaan, apa yang jelas ialah hati menentukan perilaku manusia di muka bumi ini.

Semakin ramai manusia yang sakit dan rosak hatinya maka akan tergendalalah ketenteraman hidup masyarakat dan negara.

Ibnu Qayyim mengeluarkan pendapatnya mengenai hati manusia.

Kata ulama tersohor berkenaan, Allah menjadikan dua hati – satu yang malang dan satu yang selamat.

Dua hati yang malang itu adalah hati yang sakit dan hati yang kasar manakala hati yang selamat adalah hati yang tunduk kepada Tuhannya, tenang dan pasrah kepada Allah.

Jadi, marilah kita secara jujur memuhasabah diri bertanyakan diri sendiri, kita mempunyai hati yang bagaimana. Adakah hati kita sakit dan kasar atau hati kita sentiasa tunduk kepada Allah, tenang menghadapi perlikuan hidup dengan sifat mahmudah yang terpuji?

Andai kata selama ini hati kita bersarang kekotoran dan dipenuhi virus mazmumah, maka jangan kita berlengah lagi.

Ambil tindakan segera membetulkan kedudukan hati agar menjadi sihat dan bersih. Bagaimana kaedahnya kita merawati dan memulihkan hati?

Wahai saudaraku yang dirahmati Allah, dalam mengenal pasti pendekatan terbaik membaik pulih hati kita ialah dengan merujuk kepada apa yang pernah diutarakan oleh Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah.

Antara lain katanya: “Sebagaimana menjaga kekuatan tubuh yang memerlukan makan yang berzat maka menjaga kesihatan dan kekuatan hati juga memerlukan perkara yang sama.

“Tetapi makanan berzat dan penuh khasiat bagi hati ialah iman, zikir, solat, bersedekah ataupun perbuatan lain yang berupaya ketaatan kepada Allah.”

Seperti mana anggota tubuh, hati juga perlu dijaga kekebalannya supaya tidak mudah dihinggapi penyakit.

Kaedahnya adalah dengan menjauhi perbuatan yang mendatangkan dosa seperti maksiat, berdusta, berdengki khianat dan sifat mazmumah yang lain.

Untuk menjamin bahawa hati itu benar-benar sifar penyakit adalah dengan cara bertaubat, memperbanyakkan istighfar memohon keampunan kepada Allah.

Ini petua yang baik yang seharusnya kita jadikan panduan dalam usaha merawati hati.

Insya-Allah dengan istiqamah kita melakukan taubat dan melaksanakan amalan hati bersifat mahmudah, kita dilindungi Allah dari memiliki hati yang berpenyakit, kotor dan keras.

Walaupun hati tidak dapat dilihat dengan mata zahir namun tindakan yang terpercik pada perlakuan atau tingkah laku seseorang seperti sabar, berani, simpati dan empati.

Pemurah dan sifat mahmudah yang lain memberi tafsiran kepada kedudukan hati yang bersih dan sihat. Begitu jugalah dengan manifestasi perlakuan buruk seperti lekas pemarah, dengki, berburuk sangka, suka mengumpat dan apa sahaja sifat mazmumah mempamerkan seseorang itu berhati kotor dan berkarat.

Jadi, wahai saudaraku yang beriman, kita seharusnya menjaga hati agar sentiasa berada dalam keadaan yang baik, bersih dan sihat. Kita mesti memeliharanya sebagaimana kita menjaga dan memelihara anggota tubuh badan lain. Ini tidak, kesihatan tubuh badan zahir seperti kulit dan rambut misalnya bukan main lagi dijaganya.

Pantang tengok ada tompokan yang menjijikkan pada kulit, maka cemas dan risaulah. Macam-macam ubat dicari agar kulit menjadi sihat kembali.

Begitulah sayangnya kita kepada anugerah Allah berupa anggota tubuh badan zahir. Tetapi bagaimana pula dengan kesihatan hati ?

Kita sekali lagi meninjau apa yang dikatakan oleh Ibnu Qayyim, tetapi kali ini kita lihat dari sudut punca perosak hati pula.

Kata beliau, terdapat lima faktor yang akan merosakkan hati seseorang manusia. Pertama katanya, ialah akibat daripada gaya pergaulan yang tidak bermanfaat. Ini bermakna segala pergaulan yang sia-sia dan membuang masa bermakna akan memberi kesan negatif kepada kesuburan hati.

Kedua ialah angan-angan berpanjangan, diikuti faktor ketiga iaitu bergantung pada selain Allah.

Penyebab seterusnya berpunca daripada perut yang kenyang dan terakhir kata Ibnu Qayyim ialah banyak tidur.

Demikian pentingnya kita sebagai hamba Allah sentiasa menjaga hati agar perwatakan peribadi sejajar dengan kehendak agama. Ingatlah, hati yang sihat, peribadi menjadi hebat.

SUMBER

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

IKLAN