Kanak-kanak 2 tahun maut dalam kebakaran

Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut dalam kebakaran di rumahnya di Jalan Permas 2/2, Permas Jaya, di sini, hari ini.

Muhammad Aminuddin Mohamad Nor Idris Ahmad yang bakal menyambut hari lahir 19 Julai ini ditemui rentung di atas katil dalam bilik di tingkat dua rumah teres berkenaan selepas api dipadamkan. Kanak-kanak itu dan keluarganya baru berpindah ke rumah yang berusia 30 tahun itu kira-kira 9 malam tadi. Mereka sebelum ini tinggal di kawasan Stulang Baru, di sini.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor, Jaya Syed Nasir Syed Abu Bakar, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kebakaran itu pada 9.23 pagi dan tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian.

“Anggota bomba cuba menyelamatkan mangsa tetapi api yang marak dan asap tebal menyukarkan keadaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Ibu kanak-kanak itu, Nor Nadiah Abd Samad, 25, berkata ketika kejadian suaminya yang juga pekerja Tenaga Nasional Berhad sedang bertugas manakala beliau bersama dua lagi anaknya Muhammad Amirul Hakim, 6, dan Nur Aisyah Nadirah, 4, berada di tingkat bawah rumah itu.

“Saya baru lepas mandi dan memandikan dua lagi anak saya apabila terdengar dia (Muhammad Aminuddin) menangis panggil saya.
“Apabila saya cuba naik ke bilik, saya nampak asap sudah tebal. Saya cuba naik juga, tetapi tidak berjaya dan terus menghubungi bapa mertua dan memanggil jiran-jiran,” katanya.

Beliau berkata, Muhammad Aminuddin menangis tanpa henti sejak 3 pagi tadi dan selepas dipujuk oleh bapanya, baru dia berhenti menangis dan tidur pada kira-kira 5 pagi.

Mayat Muhammad Aminuddin dihantar ke Hospital Sultan Ismail di sini untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Permas, Datuk M Munusamy, yang melawat keluarga itu, berkata pihaknya menghulurkan sumbangan untuk membaik pulih rumah itu dan urusan pengkebumian bagi meringankan beban keluarga berkenaan. – BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

1 Comment

  1. July 4, 2012    

    kesiannya baby tu… tak tahu ape2… kematiannya sungguh menyayat hati…

    http://mohdfaizulosman.blogspot.com/2012/07/eqbal-zack-brisbane-giveaway.html
    faizulosman recently posted..Eqbal Zack : Brisbane GiveawayMy Profile

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

IKLAN