Nazri Akan Bincang Dengan Peguam Negara Adakan PRU 13 Selepas Tamat Tempoh Mandat

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz akan berbincang dengan Peguam Negara berhubung cadangan bagi memastikan pilihan raya umum diadakan setelah tempoh mandat pentadbiran kerajaan sedia ada mencukupi lima tahun.

Mohamed Nazri berkata perkara itu perlu dirujuk kepada Peguam Negara bagi memastikan sama ada Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda atau sebaliknya.

“Saya nak minta nasihat daripada Peguam Negara kalau ada keputusan macam ini, bagaimana nak dilakukan. Sama ada kita buat pindaan Perlembagaan atau diadakan dalam peruntukan Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Program Komuniti Perkhidmatan dan Tanggungjawab bersama Belia Menabur Bakti di Dewan Orang Ramai Kampung Tanah Merah di sini, hari ini.

Pada persidangan Parlimen bulan lepas, Mohamed Nazri berkata kerajaan sedang melakukan gerakan kecil-kecilan untuk mempertimbang bahawa pilihan raya umum diadakan apabila tempoh mandat pentadbiran kerajaan sedia ada mencukupi lima tahun dan bukannya lebih awal.

Mohamed Nazri berkata sekiranya pilihan raya diadakan mencukupi lima tahun, ia tidak menganggu-gugat segala program yang dirancang kerajaan untuk rakyat yang mengambil tempoh lima tahun pelaksanaannya.

Beliau secara peribadi bersetuju dan bersedia untuk menjadi pemangkin kepada langkah itu.

“Saya secara peribadi berpandangan, kalau kita mempunyai program seperti Rancangan Malaysia kelima dan enam, tempohnya lima tahun. Sekiranya pilihan raya pada tahun ketiga dan keempat akan mengganggu program yang telah disediakan oleh kerajaan,” katanya.

Selain itu, Mohamed Nazri berkata sekiranya pilihan raya diadakan mencukupi lima tahun, ternyata dakwaan pembangkang adalah meleset, kononnya segala bantuan kerajaan kepada rakyat adalah kerana ingin memancing undi ekoran pilihan raya hampir tiba.

“Pada hal kerajaan menjalankan tanggungjawab untuk membantu rakyat. Jadi kita memberi pelbagai pemberian, bukan kerana pilihan raya dekat. Jadi kalau kita ada buat satu keputusan iaitu pilihan raya tidak akan diadakan sebelum lima tahun tamat, segala tuduhan pembangkang meleset,” katanya.

— BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

IKLAN