Jabatan Perkhidmatan Awam telah mengeluarkan pekeliling terbaru ekoran pelaksaan gaji baru minimum-maksimum menggantikan jadual gaji matriks SSM yang lama.
Berikut adalah kandungan pekeliling tersebut
PERUBAHAN PENETAPAN GAJI PERMULAAN BERIKUTAN PELAKSANAAN JADUAL GAJI MINIMUM – MAKSIMUM MENGGANTIKAN JADUAL GAJI MATRIKS
TUJUAN
1. Surat Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan untuk melaksanakan perubahan penetapan gaji permulaan bagi skim-skim perkhidmatan yang berkuat kuasa selaras dengan kenaikan gaji pegawai perkhidmatan awam di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2012 – Kenaikan Gaji Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan Di Bawah Sistem Saraan Malaysia (PP 1/2012).
DEFINISI
2. Dalam pekeliling perkhidmatan ini, “gaji permulaan” bermaksud matagaji yang ditetapkan untuk seorang pegawai yang baru dilantik tertakluk kepada skim perkhidmatan berkenaan.
LATAR BELAKANG
3. Kerajaan telah memutuskan supaya SSM dikekalkan dengan penambahbaikan melalui PP 1/2012. Dengan berkuatkuasanya PP 1/2012, maka kesemua skim perkhidmatan yang diluluskan di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2002 – Pelaksanaan Sistem Saraan Malaysia Bagi Anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan, pekeliling dan surat pekeliling perkhidmatan serta surat pelaksanaan mengenai penggubalan, perubahan dan penjumudan skim perkhidmatan dalam tempoh 1 November 2002 sehingga 31 Disember 2011 seperti di Lampiran A kekal berkuat kuasa.
KEPERLUAN PERUBAHAN PENETAPAN GAJI PERMULAAN
4. Melalui PP 1/2012, Kerajaan telah bersetuju memberi kenaikan gaji antara 7% hingga 13% kepada pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang melibatkan Kumpulan Pelaksana, Kumpulan Pengurusan dan Profesional, dan Kumpulan Pengurusan Tertinggi. Struktur gaji SSM pula diubah suai daripada Jadual Gaji Matriks (JGM) yang mempunyai tiga (3) peringkat gaji (P) dan tangga gaji (T) kepada Jadual Gaji Minimum – Maksimum (JGMM) yang tidak lagi memperuntukkan tangga gaji.
5. Berikutan dengan pemakaian JGMM tersebut, penetapan gaji permulaan bagi 279 skim perkhidmatan perlu dipinda supaya selaras dengan keputusan kerajaan. Perubahan struktur gaji ini juga melibatkan perkhidmatan Polis Diraja Malaysia melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2012 – Kenaikan Gaji Bagi Perkhidmatan Polis Diraja Malaysia Di Bawah Sistem Saraan Malaysia dan perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia melalui Surat Pelaksanaan Saraan Baru Perkhidmatan Awam Bagi Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia. Perubahan penetapan gaji permulaan ini hanya terpakai kepada pegawai yang dilantik mulai 1 Januari 2012.
PELAKSANAAN
6. Dengan perubahan JGM kepada JGMM, penetapan gaji permulaan bagi 279 skim perkhidmatan yang berkuat kuasa adalah seperti di Lampiran B.
TARIKH KUAT KUASA
7. Surat Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012.
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
(TAN SRI ABU BAKAR BIN HAJI ABDULLAH)
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia
JABATAN PERKHIDMATAN AWAM MALAYSIA
PUTRAJAYA
16 April 2012
Untuk download pekeliling ni, SILA KLIK SINI
