Pengakuan seorang gadis sedia dimadu

image
gambar hiasan


Baru-baru ini, saya dapat peluang meneroka hati seorang kawan – perempuan – yang sedang hangat bercinta dengan suami orang.

Usianya awal 30-an, sangat cantik, berkerjaya tetap, punya kereta dan rumah sendiri.

Walaupun hidupnya nampak sempurna tetapi saya tahu, hatinya tidak ceria. Ini tidak lain, tidak bukan kerana cintanya terhalang. Maklumlah, kekasihnya suami orang.

Sambil minum air buah menghadap tasik, saya berani-beranikan diri bertanya soalan ‘cepu gangsa’, macam mana dia mengendalikan perasaan apabila terkenang kekasihnya yang tidur malam berdakap isteri sedangkan dia seorang diri.

“Dan macam mana pula apabila awak teringat yang ‘lebih’ daripada itu? Sedangkan dalam keadaan asyik-maksyuk macam ini, saya percaya, dalam hati awak, dia juga milik awak, bukan milik isteri dia saja.”

Sebenarnya sudah lama saya teringin nak tanya soalan itu tetapi tidak berani. Namun pada hari itu, dengan ‘bantuan’ angin sepoi-sepoi bahasa dari tengah tasik, saya percaya, kalaupun dia marah, marahnya itu akan segera dibawa pergi. Dan kalaupun dia marah juga, itu mungkin hanya kerana dia berasa malu ditanya soalan yang seperti itu.

Apabila dia ambil masa yang agak lama untuk jawab, saya pun berkata: “Relaxlah, kita sudah matured, dan ini persoalan orang matured …”

“Sebenarnya macam ni, dengan kedudukan diri saya, jika saya terus layan rasa cemburu, saya anggap saya sudah buat kesalahan besar. Ya, bercinta dengan suami orang ini pun, bagi sesetengah orang, juga kesalahan tetapi kesalahan ini akan jadi lebih besar lagi jika saya layan rasa cemburu.

“Sedangkan hubungan dia dengan isteri dia sah, dengan saya yang tidak sah. Jadi ikut hukum apa pun, saya yang salah. Tapi inilah cinta, takdir hidup saya. Saya dah tak boleh nak tolak hakikat perasaan saya pada dia, saya sangat sayangkan dia, macam mana saya sayangkan diri saya dan keluarga saya.

“Jadi soal cemburu, bagi saya itu hal remeh. Saya tak mahu layan sedangkan ada persoalan yang lebih besar perlu saya fikir, iaitu macam mana untuk hidup bersama dia, dan kalau memangnya tidak ada jodoh, macam mana pula untuk saya hidup tanpa dia.”

Panjang lebar sungguh penjelasannya. Ketika dia menyebut “… macam mana pula untuk saya hidup tanpa dia” diikutkan hati mahu sahaja saya menyambut: “ Abang Mat kan adaa….” Tapi apabila memikir dia sudah begitu percayakan saya, tidak tergamak pula rasa hati nak ambil kesempatan dengan cara murahan seperti itu.

Walaupun dia cukup syarat untuk jadi ‘isteri mishar’ bagi orang yang ‘gatal’ nak berpoligami tetapi tidak mampu seperti saya, saya masih perlu menghormati hubungan dia dengan kekasihnya, juga kesetiaan cinta mereka. Lagi pun, kalau sudah keluarganya menghalang dia jadi isteri kedua lelaki itu, apa pula lebihnya saya?

“Satu lagi Abang Mat … kalau pun saya jadi kahwin dengan dia, jadi isteri nombor dua, saya akan dapat dia seorang jugak.”

“Dapat dia seorang? Apa maksud awak? Isteri dia macam mana?” Saya mula berfikir buruk.

“Bukanlah… maksud saya, kalau kami kahwin nanti, dia akan datang kepada saya, seorang, satu… bukannya setengah. Saya bukan nak dapat badan dia yang dibahagi dua. Cuma dari segi masa saja bukan sepenuh dengan saya, macam orang yang hanya ada satu isteri, macam Abang Mat.”

Gulp!!!

“Sempat juga dia kenakan aku,” bisik saya dalam hati.

Itulah. Daripada banyak cerita yang saya pernah dengar dalam kes cinta tiga segi, atau empat segi, atau lima segi seperti ini, kumpulan wanita yang datang kemudian dalam hidup seseorang lelaki ini biasanya tidak kisah sangat tentang hal seperti itu.

Kadang kala saya terfikir juga, mereka ini tidak ada perasaan cemburukah?

Walaupun mereka tahu lelaki yang dicintai itu statusnya suami orang, tidur malam berdakap sedangkan si kekasih pula hanya mampu memeluk ‘suami belanda’ (bantal peluk) namun mereka masih juga mahu terus bercinta.

Seorang kawan saya – lelaki – pernah mengadu. Mulanya dia menyangka isterinya benarkan dia berkahwin seorang lagi.

“Mula-mula dia kata, abang nak kahwin lagi, boleh. Saya tak kisah nak berkongsi kasih, berkongsi perasaan. Betul bang, saya tak kisah. Yang saya kisah cuma satu saja …”

“Apa dia yang satu tu?” Si suami bertanya dengan rasa galak.

“Yang satu tu, yang ‘itu’lah … kalau abang boleh ada dua ‘benda’ itu, baru abang boleh kahwin lagi satu.”

-sinarharian

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

IKLAN