Info: Pengeluaran Duit Syiling Peringatan Sempena Ulang Tahun Penubuhan Malaysia Ke-50

duit sempena hari malaysia

Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan Ulang Tahun Penubuhan Malaysia Ke-50. Hari Malaysia kini disambut pada 16 September setiap tahun sebagai memperingati penubuhan persekutuan Malaysia yang terdiri daripada 11 buah negeri di Tanah Melayu dan dua buah negeri di Borneo, iaitu Sabah dan Sarawak.
Spesifikasi duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut:
1. Duit Syiling Peringatan Emas (pruf)
Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping ialah 7.96 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM100 dan harga jualannya RM1,800 sekeping. Sebanyak 750 keping ditempa.
2. Duit Syiling Peringatan Perak Berwarna (pruf)
Duit syiling ini merupakan duit syiling berwarna yang pertama dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia. Pada bahagian hadapan duit syiling ini terdapat imej berwarna Jalur Gemilang. Duit syiling pruf yang berwarna ini diperbuat daripada logam Perak (Fine Silver) dengan ketulenan 999 dan berat setiap keping ialah 31.10 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan dijual pada harga RM200 sekeping. Sebanyak 10,000 keping ditempa.
3. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic
Nilai muka duit syiling emas Nordic ini ialah RM1 dan harga jualannya RM10 sekeping. Sebanyak 25,000 keping ditempa.
Kesemua duit syiling ini juga boleh didapati dalam set 3 dalam 1, dan set 2 dalam 1. Set 3 dalam 1 mengandungi duit syiling emas, perak berwarna dan emas Nordic pruf. Set ini akan dijual pada harga RM2,100 dan hanya terdapat 500 set sahaja. Set 2 dalam 1 pula mengandungi duit syiling perak berwarna dan emas Nordic pruf. Set ini akan dijual pada harga RM250 dan hanya terdapat 1,000 set sahaja.

Reka Bentuk Duit Syiling
Berikut ialah keterangan mengenai reka bentuk duit syiling peringatan tersebut:
i. Bahagian Hadapan
Duit syiling peringatan ini memaparkan imej Jalur Gemilang yang berwarna di bahagian tengahnya. Perkataan “PERAYAAN HARI MALAYSIA” dan “50 Tahun” dipaparkan di bahagian atas duit syiling manakala perkataan “16 SEPTEMBER 1963-2013” dipaparkan di bahagian bawah duit syiling.
ii. Bahagian Belakang
Bahagian tengah duit syiling peringatan ini memaparkan imej Jata Negara dan peta Malaysia. Perkataan “BANK NEGARA MALAYSIA” iaitu pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan ini dipaparkan di bahagian atas duit syiling manakala nilai muka duit syiling tertera di bahagian bawahnya.
Reka bentuk keseluruhan duit syiling peringatan ini terdapat dalam Lampiran II.

Lokasi Jualan
Duit syiling peringatan ini diedarkan oleh Bank Negara Malaysia dan akan mula dijual pada 17 September 2013 di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (MAG) di Sasana Kijang, Kuala Lumpur dan pejabat wilayah di Pulau Pinang dan Johor Bahru serta cawangan di Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

IKLAN