Pusat Tingkatan Enam Kementerian Pendidikan Malaysia

matrikulasi kpm

Pusat Tingkatan Enam Kementerian Pendidikan Malaysia

Latar Belakang Penjenamaan Semula Pusat Tingkatan Enam
Program ini merupakan satu inisiatif KPM untuk memantapkan pendidikan Tingkatan Enam dengan meningkatkan imej, sistem dan kualiti pendidikan ini setanding dengan pendidikan prauniversiti yang lain seperti di kolej-kolej matrikulasi dan pusat asasi sains.

Salah satu hasrat dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang mencadangkan 11 anjakan strategik dan operasi yang perlu dilaksanakan adalah mewujudkan laluan pendidikan yang pelbagai bagi murid lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Justeru, dalam Gelombang 1, KPM berhasrat untuk mengukuhkan laluan pendidikan termasuklah pelan tindakan menjenamakan semula Tingkatan Enam.

Dengan Penjenamaan ini, sekolah yang menawarkan pelajaran tingkatan enam akan diberi kuasa untuk memperkenalkan pelbagai inisiatif agar dapat mengupayakan pelajar sebelum memasuki universiti.

Sesungguhnya, penyediaan infrastruktur pendidikan yang lengkap merupakan perkara asas yang perlu disediakan bagi memastikan setiap murid Tingkatan Enam berpeluang belajar dalam keadaan selesa dan kondusif

Selain itu, murid Tingkatan Enam juga perlu mendapat peluang yang sama dengan pelajar program persediaan prauniversiti yang lain untuk mengembang bakat dan kreativiti mereka untuk menjadi generasi muda berimpak tinggi, glokal dan universal serta akhirnya membawa kesejahteraan kepada negara.

Sehubungan dengan itu, inisiatif Kementerian mewujudkan Pusat Tingkatan Enam adalah amat wajar dan bertepatan dengan usaha menjenamakan semula pendidikan ini.

Murid tingkatan enam ini akan dikumpulkan dan ditempatkan secara berpusat, menggunakan pakaian yang berbeza dengan pakaian sekolah harian biasa, menggunakan jadual waktu yang berbeza, tenaga pengajar khusus dan diletakkan dalam kategori yang berlainan berbanding dengan sekolah arus perdana.

Persekitaran pembelajaran Tingkatan Enam yang lebih kondusif, menarik dan berkesan akan dapat membantu murid untuk menyiapkan diri bagi memperoleh pencapaian yang cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana muda di universiti.

Seperti yang kita sedia maklum bahawa peperiksaan STPM diiktiraf oleh Cambridge Assessment, United Kingdom. Ini bermakna, STPM diiktiraf oleh badan antarabangsa dan murid Tingkatan Enam adalah setaraf dengan lulusan pendidikan prauniversiti yang lain.

Penjenamaan Semula Tingkatan Enam

Pelan tindakan penjenamaan semula Tingkatan Enam dilaksanakan dengan melibatkan lima fokus utama, iaitu imej dan anjakan minda, infra dan info struktur, pengurusan pentadbiran, mod pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan kurikulum.

Ddengan pelaksanaan pembelajaran Tingkatan Enam secara berpusat, imej dan minda pelajar akan dapat dibentuk dan mempunyai identity tersendiri, berkeyakinan tinggi dan berkebolehan. Ini amat penting bagi persediaan awal sebelum menempuh pembelajaran peringkat tinggi di Universiti.

KPM juga komited dalam memastikan pembangunan infra dan infostruktur pusat pendidikan Tingkatan Enam sentiasa diberikan perhatian. Seperti dimaklumkan, Pusat Tingkatan Enam ialah pusat pendidikan yang mengabungkan kelas-kelas Tingkatan Enam dari sekolah arus perdana. Pada masa ini, terdapat beberapa kategori pusat Tingkatan Enam, iaitu Pusat Tingkatan Enam Mod 1, Mod 2 dan Mod 3 yang terdapat di seluruh negara.

Pusat Tingkatan Enam Mod 1 ialah premis berasingan daripada arus perdana yang hanya menempatkan murid Tingkatan Enam sahaja. Pusat ini juga mempunyai bangunan dan pentadbiran tersendiri dan beroperasi dengan sekurang- kurangnya 12 kelas.

Seperti yang telah dinyatakan terdapat 6 buah Pusat Tingkatan Enam mod 1 telah beroperasi termasuklah SMK Desa Mahkota ini yang merupakan pusat mod 1 bagi Wilayah Persekutuan.

Pusat Tingkatan Enam Mod 2 pula ialah pusat Tingkatan Enam yang berkongsi premis dengan sekolah arus perdana. Walau bagaimanapun, penempatan murid Tingkatan Enam adalah di bangunan berasingan, dan beroperasi dengan sekurang- kurangnya 12 kelas.

Seterusnya, pusat Tingkatan Enam Mod 3 yang merupakan pusat Tingkatan Enam di luar bandar. Pusat ini berkongsi premis dengan sekolah arus perdana. Penempatan murid Tingkatan Enam adalah secara berkongsi bangunan dengan arus perdana.

Pusat ini beroperasi kurang 12 kelas dan diwujudkan jika pusat Tingkatan Enam yang berhampiran tidak mempunyai kemudahan asrama dan kemudahan pengangkutan awam.

Bagi pengoperasian Pusat Tingkatan Enam Mod 2 pula, bilangan pusat yang beroperasi adalah sebanyak 10 pada tahun 2014 dan bilangan tersebut semakin bertambah pada tahun 2015, menjadikan bilangan Pusat Tingkatan Enam Mod 2 yang beroperasi kepada 47 buah.

Berdasarkan perancangan, bilangan Pusat Tingkatan Enam Mod 3 akan beransur-ansur berkurangan dan pada akhirnya, hanya Pusat Tingkatan Enam Mod 1 sahaja yang beroperasi di seluruh negara dengan setiap Pejabat Pendidikan Daerah mempunyai sekurangkurangnya satu Pusat Tingkatan Enam Mod 1.

Oleh itu, dalam Rancangan Malaysia Ke-11, KPM merancang menyediakan prasarana dan infrastruktur yang lebih lengkap bagi menyokong inisiatif ini khususnya bagi pelaksanaan Pusat Tingkatan Enam Mod 1 dan Mod 2.

Projek- projek pembangunan yang dirancang termasuklah pembinaan bangunan baharu pusat Tingkatan Enam, bangunan tambahan di sekolahsekolah sedia ada yang melaksanakan Tingkatan Enam, bangunan gantian untuk blok- blok yang daif dan tidak selamat digunakan serta kerja- kerja ubah suai naik taraf kemudahan sekolah.

Skop projek pula meliputi kemudahan pentadbiran, kemudahan akademik seperti bilik darjah, makmal sains, pusat sumber, kemudahan asrama murid, serta kemudahan lain seperti kantin, dewan dan sebagainya.

Pembangunan infostruktur juga dirancang dengan teliti, terutamanya bagi peralatan ICT dan capaian Internet di pusat Tingkatan Enam. Perkara ini akan disegerakan supaya sesuai dengan kaedah pembelajaran berpusatkan murid dan perubahan dalam struktur pentaksiran STPM, daripada sistem terminal kepada sistem modular.

Tahun ini merupakan kohort ketiga sistem ini dilaksanakan. Tambahan pula, sistem pentaksiran baharu ini juga memperkenalkan kerja kursus, iaitu dalam bentuk Kertas Projek atau Kerja Lapangan atau Amali Sains yang dinilai oleh guru sekolah dengan wajaran 20% hingga 40%

Kaedah pembelajaran yang digunakan dalam PdP Tingkatan Enam adalah selari dengan kaedah pembelajaran di universiti yang berteraskan pendidikan alaf ke-21. Murid Tingkatan Enam lebih berpeluang untuk meneroka ilmu dan pelbagai maklumat dengan pantas dan lebih luas, hanya di hujung jari.

Sistem semester dan penggunaan jadual waktu fleksibel antara fokus perubahan dalam pengajaran dan pembelajaran. PdP di Tingkatan Enam juga menggunakan pendekatan ala universiti, kuliah, tutorial dan praktikal. Murid juga perlu melengkapkan kerja kursus bagi melengkapkan pemarkahan STPM.

 

IMPAK PENJENAMAAN SEMULA

Pelaksanaan penjenamaan semula Tingkatan Enam boleh memberi impak positif terhadap pendidikan Tingkatan Enam terutama dalamaspek pencapaian kelulusan peperiksaan STPM dan STAM.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) telah memperkenalkan pendekatan yang berbeza dalam struktur pentaksiran STPM dan STAM, iaitu pendekatan secara modular berbanding secara terminal sebelum ini.

Pendekatan baharu yang diperkenalkan memberi kesan kepada pencapaian murid Tingkatan Enam dalam STPM. Ini ditunjukkan melalui peningkatan pencapaian STPM pada tahun 2014 berbanding pada tahun sebelum.

PNGK kebangsaan dalam peperiksaan STPM 2014 telah meningkat kepada 2.62 daripada 2.57 pada STPM 2013. Min PNGK sekolah kerajaan telah meningkat daripada 2.55 pada tahun 2013 kepada 2.62 pada peperiksaan STPM 2014.

Secara keseluruhannya, dalam peperiksaan STPM 2014, peratusan calon yang mendapat kelulusan peringkat lulus penuh dalam 5 hingga 1 mata pelajaran telah menunjukkan peningkatan sebanyak 0.96% berbanding STPM 2013.

Begitu juga dengan pencapaian calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Saya dimaklumkan, terdapat peningkatan pencapaian calon STAM pada tahun 2014 berbanding tahun 2013. Bilangan calon STAM yang mendapat Pangkat Maqbul (Lulus) hingga Mumtaz (Cemerlang) bagi tahun 2014 meningkat seramai 310 calon (2.9%), iaitu daripada 3,153 calon (60.4%) pada tahun 2013 kepada 3,823 calon (63.3%) pada tahun 2014.

Peningkatan pencapaian ini adalah kerana dalam sistem petaksiran baharu STPM, calon diuji pencapaiannya mengikut perkara yang dipelajari pada penggal yang berkenaan sahaja. Calon juga boleh memperbaiki pencapaian melalui peperiksaan ulangan pada setiap penggal. Kerja Kursus juga membantu calon meningkatkan pemahaman tentang perkara yang dipelajari dan sekaligus dapat menyumbang ke arah peningkatan pencapaian keseluruhan calon.

Harapan

Menjelang tahun 2020, permintaan terhadap tenaga mahir dan separa mahir dalam pelbagai bidang amatlah tinggi di negara kita. Sejajar dengan perkembangan tersebut, kerajaan sangat mengambil berat tentang hala tuju dan masa depan murid lepasan Tingkatan Enam

Oleh itu, kementerian amat berharap agar murid yang tamat pengajian di Tingkatan Enam boleh meneruskan pengajian di mana- mana institusi pengajian tinggi sama ada di dalam dan luar negara. Selain itu, murid lepasan STPM dan STAM juga diharapkan mampu bersaing dalam pasaran pekerjaan yang sangat mencabar jika memilih untuk terus bekerja.

 

– Dipetik daripada ucapan YANG AMAT BERHORMAT TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD. YASSIN SEMPENA ‘MAJLIS PELANCARAN PUSAT TINGKATAN 6 KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA’ DI SMK DESA MAHKOTA, KUALA LUMPUR PADA 17 JUN 2015 (RABU) JAM : 12.00 tgh.

SUMBER

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

IKLAN