Semak gelaran kebesaran online

20120425-162549.jpg

Kini kita boleh semak kesahihan penggunaan gelaran kebesaran secara online. Ye la kan… Bersepah-sepah sekarang orang duk guna Dato’, Datuk, Datuk Sri dan lain-lain.. Entah betul entah tak.. Mana tau kan?? Zaman sekarang sebut datuk je semua percaya, semua nak kerumun… Tengok-tengok.. Datuk cucu 10…. Hahaha

Kesahihan penggunaan gelaran kebesaran boleh disemak secara online

KUALA LUMPUR: Orang ramai boleh merujuk laman sesawang Bahagian Istiadat di Jabatan Perdana Menteri www.istiadat.gov.my jika mereka mahu menyemak sama ada gelaran kebesaran yang digunakan oleh seseorang individu itu adalah sahih dan diiktiraf kerajaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata laman sesawang itu mempunyai senarai lengkap yang dikemas kini mengenai semua penerima anugerah, sama ada yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong ataupun sumber-sumber yang diiktiraf.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Datuk Syed Ibrahim Kader yang meminta Perdana Menteri menjelaskan apakah usaha yang diambil untuk menangani masalah penyalahgunaan gelaran kebesaran seperti Datuk dan Datuk Seri yang diragui kesahihan sumbernya pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Liew berkata mengikut dasar dan peraturan semasa, hanya penganugerahan yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Raja bagi negeri-negeri bersultan atau beraja serta Yang Dipertua Negeri akan diiktiraf.

Bagi darjah dari negara asing, hanya yang dikurniakan oleh ketua negara ataupun ketua kerajaan sesebuah negara asing yang berdaulat akan diiktiraf.

“Dalam hubungan ini, anugerah yang diberikan oleh pertubuhan, persatuan atau mana-mana institusi dalam dan luar negara yang tidak mempunyai kekuasaan politik dan wujud hanya sebagai pusat kebudayaan dan pemuliharaan adat budaya dan tradisi sahaja adalah tidak termasuk dalam kategori penganugerahan yang diiktiraf,” katanya.

Liew menjelaskan bahawa bagi memastikan suatu penganugerahan itu dikawal rapi di peringkat Persekutuan, Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa di Jabatan Perdana Menteri mempunyai satu rekod lengkap dan kemas kini mengenai semua penerima anugerah Persekutuan.
Katanya, tindakan ini ialah bagi memastikan gelaran atau pingat yang dianugerahkan mempunyai daftar rekod yang sahih selain menggelak daripada timbulnya kekeliruan dan keraguan tentang senarai penerima anugerah darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan.

Liew juga menjelaskan senarai penerima anugerah hanya akan disiarkan sehari selepas majlis penganugerahan. – BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

IKLAN