SIAPA DR YUSUF AL-QARADAWI?

Malaysia beberapa hari ini setelah susutnya demam dan kesedihan kekalahan Piala AFF Suzuki dilanda berita tentang waran tangkap Interpol terhadap Dr Yusuf Al-Qaradawi. Meskipun waran tersebut dikeluarkan awal Disember ini namun rata-rata rakyat Malaysia kurang mendapat pendedahan mengenai perkara ini. Ulama’ sering dimuliakan dengan pelbagai cara, mungkin dengan cara diburu begini barulah masyarakat kenal dan sedar betapa pentingnya ulama’ ini kepada dunia dan betapa tingginya nilai keilmuan mereka.

yusuf qardawiYusuf Abdullah al-Qaradhawi seorang tokoh ulama’ yang terkenal dalam abad ini. Beliau merupakan seorang pemikir, sarjana dan intelek kontemporari yang tidak asing lagi di dunia Islam. Beliau lebih dikenali sebagai Yusuf al-Qaradhawi. Yusuf al-Qaradhawi dilahirkan di desa Shafat al-Turab, Mahallah al-Kubra Negeri Gharbiah, Mesir pada 9 September 1926 bersamaan 1344H.

Nama penuhnya ialah Yusuf bin Abdullah bin Ali bin Yusuf. Al-Qaradhawi merupakan nama kelurganya. Nama ini diambil dari sebuah daerah yang bernama al-qardhah. Dan dinisbahkan kepada keturunannya. Di kampungnya ini terletaknya makam sahabat nabi yang meninggal di Mesir iaitu Abdullah bin Harith bin Juz al-Zubaidi.

Ketika berusia 5 tahun, Yusuf telah dihantar ke kuttab di kampungnya untuk menghafaz al-Quran. Apabila usianya menjangkau 7 tahun, beliau memasuki sekolah rendah (madrasah Ilzamiyyah) yang diuruskan oleh Kementerian Pendidikan. Di sekolah ini, beliau belajar matematik, sejarah, kesihatan dan lain-lain. Yusuf sejak kecil lagi mendapat pendidikan secara formal melalui sekolah kerajaan di sebelah pagi dan pendidikan agama (al-Kuttab) di sebelah petang. Beliau menghafal al-quran sebelum umurnya menjangkau 10 tahun. Beliau tidak menjalani kehidupan kanak-kanak yang biasa dengan bermain, namun masa usia tersebut dihabiskan dengan membesar sebagai imam dan pemberi syarahan agama di masjid kampungnya.

Apabila tamat madrasah Ilzamiyyah, beliau melanjutkan pelajaran ke Maahad Rendah Tanta (madrasah ibtida’ittah) selama 4 tahun dan di Maahad Menengah (madrasah thanawiyya) selama lima tahun.Maahad ini terletak dibawah penguasaan al-Azhar.Menurut al-Qaradhawi, pada mulanya bapa saudaranya enggan menghantar beliau ke sekolah maahad al-Azhar kerana ia memakan masa yang lama apatah lagi banyak graduannya menganggur ketika itu. Bapa saudaranya inginkan beliau menamatkan pelajaran dan cepat mendapat pekerjaan atau menjadi peniaga yang berjaya. Tetapi takdir Allah yang menentukan apabila ada seorang syeikh yang datang melawat kampung shafat al-Turab dan menyarankan kepada bapa saudaranya bahawa wajib beliau menghantarnya ke al-Azhar. Saat itulah yang merubah kehidupan al-Qaradhawi dan menjadi salah seorang pelajar di Maahad Agama Tanta dengan memakai pakaian rasmi al-Azhar iaitu jubah dan serban merah.

Semasa di Maahad Tanta, al-Qaradhawi mulai banyak membaca buku. Ia tidak hanya membatasi diri untuk membaca buku-buku silibus sahaja, tetapi buku-buku yang lain untuk meluaskan ufuk pemikiran dan menghilangkan kehausan terhadap ilmu pengetahuan. Setelah tamat Maahad Tanta, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar.

Pada tahun 1952/1953, beliau berjaya menyelesaikan kuliah di Fakulti Usuluddin. Beliau tamat dengan menjadi pelajar terbaik dari 180 orang mahasiswa. Yusuf kemudiannya mengambil pengkhususan di fakulti Bahasa Arab selama dua tahun. Beliau memperolehi ijazah sarjana dan diploma pendidikan dengan pangkat pertama daripada 500 orang mahasiswa. Pada tahun 1957, beliau menyambung pelajaran ke Akademi Kajian Bahasa Arab Tinggi yang dikelolakan oleh Liga Arab sehingga memperolehi diploma Bahasa Arab dan Sastera.

Dalam waktu yang sama, Yusuf mendaftar calon ijazah tinggi di Fakulti Usuluddin dalam bidang tafsir dan hadith sehingga menamatkan pengajian pada tahun 1960. Kemudian, beliau menyiapkan diri untuk mendapatkan Ph.D dalam fiqh al-Zakat yang diwajibkan untuk diselesaikan dalam masa dua tahun. Oleh kerana keadaan politik Mesir cukup gawat ketika itu, beliau terpaksa menanguhkan pengajiannya selama 13 tahun. Akhirnya pada tahun 1973, beliau berhasil memperolehi ijazah Ph.d. Tesis tersebut mendapat pujian dan menjadi kebanggaan kebanyakan ulama’ termasuk Mawdudi dan Muhammad Mubarak.

Antara jawatan yang pernah dipegang
-Imam dan pensyarah beberapa masjid di Mesir
-Pengasas kepada Jabatan Pengajian Islam Universiti Qatar
-Pengasas dan Dekan Fakulti Syariah dan Pengajian Islam di Universiti Qatar
-Pengasas Pusat Penyelidikan Sunnah dan Biografi Nabi di Universiti Qatar
-Pengasas dan ketua Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah.
-Presiden Persatuan Ilmuwan Islam Antarabangsa
-Pengerusi Kesatuan Ulama’ Sedunia (hingga kini)

Al-Qaradhawi juga menjadi ahli beberapa majlis dan yayasan tempatan dan antarabangsa yang memberi tumpuan kepada pemikiran, pengetahuan, hal ehwal Islam dan dakwah. Antaranya ialah :

1. Majlis Rabitah al-Alam al-Islami, di Mekkah,
2. Majlis Diraja Untuk Pengajian Tamadun Islam di Jordan,
3. Pusat Pengajian Islam di Oxford,
4. Majlis Universiti Islam Antarabangsa Islamabad,
5. Organisasi dakwah Islam di Khortum, Sudan
6. Mjlis Tinggi Pendidikn di Qatar
7. Majlis Pusat Penyelidikn Tamadun di Qatar
8. Ahli Lembaga fikih Islam di Mekah
9. Ahli Liga Kesusasteraan Islam
10. Ahli Gabungan ekonomi Islam di kaherah
11. Ahli Majlis dana Islam di Qatar
12. Ahli Majlis Pengajian Islam Eropah di Perancis
13. Ahli Yayasan Media Islam Antarabangsa di Islambad, Pakistan.
14. Menjawat jawatan Pengarah Lembaga Pengawasan Syariah di beberapa bank Islam. Antaranya ialah Bank al-Taqwa yang berpusat di Swizterland dan Bank Islam Qatar
15. Penasihat dalam majalah muslim Mua’asir, Islamiyyat al-Ma’rifat dan Jurnal Syariah dn Pengajian Islam, Universiti Qatar.

Anugerah yang pernah diterima
-Islamic Economy Prize daripada Islamic Development Bank
-Hadiah Antarabangsa Raja Faisal dalam Pengajian Islam
-anugerah daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
-Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa sempena sambutan Maal Hijrah 1431/2009 Malaysia
-Hadiah Sultan Hassan al Bolkiah (Brunei) dalam Perundangan Islam.

Antara hasil penulisan beliau yang terkenal adalah Fiqh Awlawiyat (Keutamaan), Fiqh Jihad, dan Al-Ikhwan al-Muslimun sab’in Amman fi al-Da’wah wa al-Tarbiyyah, (Ikhwan al-Muslimun selama 70 tahun dalam dakwah dan Pendidikan).

Inilah sedikit sebanyak kupasan tentang tokoh hebat ini. Beliau disabitkan dengan pertuduhan menghasut dan membantu pembunuhan antarabangsa, membantu banduan melepaskan diri dari penjara, aktiviti vandalisme dan kecurian.

Tidak sewajarnya seorang yang sangat berjasa kepada dunia dalam bidang akademik dan Islam dilayan sebegini. Maka kami di Gabungan Mahasiswa Merdeka menyeru kepada seluruh pihak agar bangkit bersama untuk bersuara dan membantah diskriminasi dan pertuduhan jahat terhadap ulama’ ini.

SOLIDARITI BANTAH WARAN TANGKAP TERHADAP DR YUSUF AL QARADAWI !

-GMM-
sumber : Persatuan Ilmuwan Islam Antarabangsa, Pemikiran Al-Qaradawi; Minda Madani.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

IKLAN