Siapa yang mengemaskini peta dan maklumat di waze

wazeBoleh digunakan bagi telefon pintar aplikasi iOS, Android dan Windows, Waze menjadi sistem navigasi GPS lain dari kebiasaannya.

Laluan perjalanan boleh berubah melalui maklum balas dan laporan yang dihantar melalui pengguna lain, sebagai contoh sekiranya terdapat pembinaan di tepi jalan yang menyebabkan pergabungan lorong pemanduan, perkara itu akan turut muncul dalam paparan.

Waze yang juga laman sosial membolehkan orang ramai berkongsi maklumat seperti penutupan jalan dan sebagainya.

Namun, tahukah anda maklumat terbabit dan suntingan peta ditapis sukarelawan Waze Malaysia yang melakukan kerja secara percuma?

Di sebalik kegembiraan menggunakan Waze, di belakangnya terdapat sukarelawan yang memastikan maklumat peta tepat termasuk Mohamad Shahdan Yahya.

Lebih manis, beliau merupakan Penyunting Peta Global Berstatus Juara Waze yang diiktiraf di peringkat dunia.

Mohamad Shahdan juga Pengurus Peta di Malaysia, Singapura dan Brunei yang bertindak sebagai penyelia kepada aktiviti menyunting peta Waze.

“Seperti yang diketahui, Waze mengamalkan konsep sosial yang mana ia membuka peluang kepada penduduk tempatan untuk menyunting sendiri peta di kawasan masing-masing bagi menjadikannya lebih tepat,” kata Mohamad Shahdan.

Beliau berkata, kemahiran di kawasan masing-masing menjadikan kemas kini peta lebih tepat dan pantas.

“Misalnya, penduduk taman tertentu boleh memaklumkan lorong di kawasan masing-masing ditutup dan sebagainya yang memastikan pengguna jalan raya tidak terganggu dengan keadaan terbabit,” katanya.

Memegang status penyunting global, Mohamad Shahdan bukan calang-calang individu apabila beliau turut memastikan peta yang disunting individu lain tepat.

“Saya dan beberapa pihak lain akan memastikan suntingan peta adalah benar berdasarkan sumber seperti maklumat dan petikan akhbar,” katanya.

Mohamad Shahdan juga memaklumkan, cabaran besar bagi penyunting sepertinya adalah memastikan jalan dalam peta benar-benar ditutup.

“Contohnya ketika Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, baru-baru ini, beberapa jalan ditutup dan ia perlu dimaklumkan kepada pengguna,” jelasnya.

Beliau berkata, beberapa individu bekerja keras memastikan lokasi jalan yang ditutup ditanda dalam Waze bagi mengelakkan pengguna melalui kawasan terbabit ketika menggunakan Waze.

“Jika tiada penyunting, jalan yang sepatutnya tidak boleh dilalui akan dibuka dalam peta dan pengguna akan melalui jalan terbabit.

“Ia sekali gus mengakibatkan masalah kepada pengguna itu sendiri dan sudah pasti ia tugas kami untuk mengelakkannya berlaku,” katanya.

Tambahnya, setiap peta akan disunting dan ia akan ditukar dalam sistem Waze bagi menawarkan laluan alternatif kepada pengguna.

“Kaedah menggunakan Waze adalah pengguna akan memasukkan lokasi, seterusnya Waze akan memberi beberapa pilihan berdasarkan laluan paling dekat dan keadaan trafik.

“Namun jika berlaku keadaan seperti penutupan jalan dan sebagainya, ia akan memberi laluan lain kepada pengguna, namun Waze menugaskannya kepada penyunting dengan membuka sistem tulang belakang mereka sendiri,” katanya.

Walau bagaimanapun, bagi memegang posisi seperti Mohamad Shahdan bukanlah mudah. Beberapa peringkat perlu dilalui bagi memastikan anda benar-benar layak.

“Hanya ada dua individu yang memegang jawatan seperti saya.

“Kemudian, saya akan memantau beberapa ratus penyunting lain yang dipilih berdasarkan kadar penggunaan Waze masing-masing,” katanya.

Kerja yang dilakukan tanpa memperoleh wang ringgit terbabit dilakukan sendiri Mohamad Shahdan tanpa mengharapkan habuan.

“Sebagai pengguna Waze, saya mahu melihat laluan yang benar-benar tepat kepada pengguna jalan raya di Malaysia,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, antara cabaran yang dilalui adalah bagi memastikan aduan pengguna jalan raya diselesaikan sepantas mungkin.

“Waze memberi peluang kepada penggunanya untuk mengadu di aplikasi terbabit sekiranya terdapat masalah di peta seperti salah laluan, lokasi tidak dikesan, jalan tidak boleh dilalui dan sebagainya.

“Selepas aduan diperoleh, saya akan membalasnya dengan meminta maklumat lebih terperinci bagi memastikan ketepatan seperti lokasi dan sebagainya,” jelas Mohamad Shahdan.

Sedihnya, beliau berkata, hampir 90 peratus pengadu tidak membalas mesej penyunting sepertinya sehingga sukar memastikan keadaan laluan terbabit.

“Contohnya, pengguna mengadu jalan tertentu tidak boleh dilalui, tetapi tidak memberi perincian seperti kenapa ia tidak boleh dilalui? Adakah laluan terbabit ditutup sementara atau selama-lamanya?” soal Mohamad Shahdan.

Dalam sistem berasaskan web yang disediakan Waze, penyunting diberi peta yang boleh disunting dengan meletakkan beberapa tanda khas.

“Suntingan memakan masa yang lama dan biasanya kami sebagai penyunting akan bekerja selepas tengah malam.

“Ia sekali gus tidak mengganggu sistem terbabit,” katanya yang turut memaklumkan laman Facebook menjadi lokasi beberapa ratus penyunting dan pengguna berkomunikasi untuk maklumat berkaitan Waze dan jalan raya.

Kesesakan lalu lintas, banjir, kilat, sekatan jalan dan jalan rosak merupakan antara masalah yang sering dihadapi bagi pengguna jalan raya, namun dengan sistem aplikasi navigasi sosial Waze, ia mampu memberikan panduan yang berbeza dengan membantu pengguna menghindari masalah berkenaan.

Semuanya bermula ketika pengasas Waze menerima hadiah sebuah GPS, tetapi amat kecewa kerana sistem berkenaan tidak begitu tepat kerana menurutnya, sistem berkenaan tidak mengambil kira perkara yang berlaku seperti kemalangan mahu pun pokok tumbang yang menghalang laluan.

Kekurangan itu membawa beliau ke dalam talian dan mendapatkan beberapa orang dari satu forum dan berbincang mengenai GPS dan memercikkan inspirasi untuk memulakan pembangunan aplikasi navigasi sosial yang lebih lengkap.

Waze kini sudah menarik lebih daripada 50 juta pengguna yang membolehkannya mengiktiraf aplikasinya sebagai aplikasi navigasi sosial terbesar di dunia jika disandarkan kepada jumlah pengguna dalam komuniti aplikasi sosial.

Sumber: HMetro

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

IKLAN