Spa tumpuan gay diserbu

 

Sebuah premis perniagaan di sebuah rumah kedai di Seksyen 17 di sini yang kerap dikunjungi lelaki pelbagai peringkat usia sejak tiga bulan lalu sebenarnya pusat spa tumpuan golongan gay.

Misteri operasi premis yang diragui masyarakat setempat itu terbongkar hasil serbuan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.

Hasil risikan MBPJ mendapati pusat spa bersembunyi di sebalik perniagaan perkhidmatan mandi lulur dan cuci muka itu turut menawarkan pakej istimewa sampingan iaitu layanan istimewa tukang urut lelaki muda warga asing.

Perkhidmatan tersebut khas disediakan untuk pelanggan lelaki bernafsu songsang yang mahu merasai kenikmatan layanan khas tukang urut terbabit yang terdiri daripada jejaka jambu dan tampan berusia awal 20-an.

Pengarah Penguatkuasa MBPJ, Mohd Fauzi Maarop berkata, rumah kedai di tingkat satu rumah kedai terbabit telah diubahsuai bahagian dalamnya kepada tujuh buah bilik kecil.

“Pemilik ini melakukan pengubahsuaian tanpa sebarang permit dan kalau dilihat dari bahagian luar memang kita tidak sedar ada premis tidak sihat seperti ini beroperasi,” katanya ketika ditemui dalam serbuan itu.

Menurutnya, ketika serbuan terdapat tiga lelaki dipercayai tukang urut berada di dalam premis.

Ketika siasatan lanjut, pemilik premis berusia awal 30-an pada awalnya menafikan premisnya dijadikan pusat urut, namun selepas satu resit pembayaran dan sehelai kertas yang tercatat hasil perolehan pada hari itu ditemui. barulah lelaki itu mengakui bahawa rumahnya itu adalah sebuah spa.

Siasatan lanjut mendapati pelanggan tetap yang ingin mendapatkan khidmat seks songsang boleh membuat tempahan tukang urut terlebih dahulu dan lazimnya mereka boleh memilih pakej dari RM170 hingga ke RM295 mengikut jenis layanan yang dinginkan,” katanya.

“Tindakan diambil di bawah Seksyen 31 (1) Pusat Kecantikan dan Kesihatan MBPJ 2007 di mana barangan dan peralatan seperti tilam disita manakala premis itu dikenakan tindakan kompaun kerana beroperasi tanpa lesen,” katanya.

-sinarharian.com.my

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

IKLAN