Suhakam Gesa Kerajaan Kaji Semula Seksyen 114A Akta Keterangan

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan supaya mengkaji semula, meminda atau memansuhkan Seksyen 114A Akta Keterangan (Pindaan) (No 2) 2012 kerana melanggar prinsip asas undang-undang bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam berkata undang-undang baru itu turut melanggar hak kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) dan Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR).

“Walaupun tanggapan fakta di bawah Seksyen 114A boleh dipatahkan. seseorang yang dianggap bersalah, mungkin tidak mempunyai masa, sumber dan khususnya kepakaran teknikal berhubung dengan persekitaran Internet, untuk membuktikan sebaliknya bagi mematah tanggapan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata berbeza pula dalam kes jenayah, pihak pendakwaan boleh lebih bersedia untuk membuktikan kesalahan pihak tertuduh, kerana mereka diberi kuasa untuk memaksa mana-mana saksi berpotensi (seperti pentadbir, pemberi khidmat rangkaian dan pembekal Internet) untuk mengemukakan keterangan.

Hasmy berkata Seksyen 114A mungkin mempunyai potensi dan kesan negatif yang menghalang daripada bersuara, menyebar dan berkongsi idea, berita dan maklumat melalui Internet, sekaligus mengehad dan mempengaruhi kebebasan bersuara. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sebelum ini berkata kerajaan tidak akan menyemak semula undang-undang tersebut.

“Suruhanjaya berharap untuk terlibat dengan Jabatan Peguam Negara dan pihak berkepentingan yang lain dalam mengkaji semula Akta serta dalam penggubalan mana-mana undang-undang baru untuk memastikan bahawa peruntukan yang disediakan oleh mereka adalah selaras dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia yang diterima secara universal,” kata Hasmy.

— BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Similar posts
  • Hari Ini Dalam Sejarah | Akta 114A di... Semalam, warga internet mengishtiharkan 14 Ogos sebagai hari “internet Blackout” kerana pindaan akta 114A dikuatkuasakan. Pindaan baru ini dianggap sebagai usaha untuk menyekat kebebasan pengguna internet Jadi, Apakah itu Seksyen 114A? Seksyen 114 A, “Andaian Fakta dalam Penerbitan”, merupakan pindaan terbaru terhadap Akta Keterangan 1950. Pindaan tersebut yang diluluskan Dewan Rakyat tanpa didebatkan terlebih dahulu [...]

No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

IKLAN