SOAL JAWAB SOLAT BERSAMA USTAZ HASNAN
1. Posisi Duduk Tahiyat Awal
Soalan:
Semasa duduk tahhiyat awal & akhir jari kaki kanan dibengkokkan menghadap kiblat tetapi jika kita tidak buat adakah batal sembahyang kita?
Alwi ,KL
Jawapan:
Membengkokkan jari kaki kanan ketika duduk tahiyat awal bukanlah termasuk dalam rukun solat yang jika tidak dikerjakan boleh membatalkan solat. Jadi walaupun meluruskan jari-jari kaki kita maka solat kita tetap sah. Perkara tersebut termasuk adab-adab ketika solat oleh itu adalah lebih baik jika dapat dilakukan seperti tersebut.
2. Terlupa Membaca Doa Iftitah
Soalan:
Bolehkah bacaan doa iftitah (selepas takbir ratul ihram) dibaca selepas daripada bacaan surah Al-Fatihah dalam solat yang dikerjakan dan selepas itu barulah dibaca surah-surah yang lain (untuk rakaat pertama)?
Emran, Kuala Terengganu
Jawapan:
Membaca doa iftitah hanya sunat, jika kita terlupa membacanya sedangkan kita telah membaca surah Al Fatihah maka teruskanlah membaca surah ataupun terus rukuk. Tidak perlulah mengulangi untuk membacanya.
