Tol percuma sempena Merdeka di LDP

logo litrak - ldpLingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) akan memberikan tol percuma bagi semua kelas kenderaan di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-56.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Sazally Saidi berkata tol percuma ini akan diberikan selama 24 jam bermula 12 tengah malam 31 Ogos ini hingga tengah malam hari berikutnya.

“Pemberian tol percuma sempena Merdeka ini adalah di kesemua empat tol plaza di LDP, ” katanya kepada pemberita selepas majlis Hari Raya Aidilfitri Litrak di ibunegara hari ini.

Beliau berkata untuk Lebuhraya Sprint pula pihaknya turut memberikan diskaun sebanyak 20 sen untuk semua kelas kenderaan bagi tempoh yang sama semasa Hari Kemerdekaan itu nanti.

“Kami amat berbangga kerana menjadi sebahagian daripada perayaan yang sungguh bermakna ini dan menjadi harapan kami agar pemberian ini akan menyemai semangat patriotik terhadap negara,” katanya.

Sementara itu, syarikat pengendali dan penyelenggara lebuh raya tol Konsortium Lebuhraya Utara-Timur Kuala Lumpur Sdn Bhd (KESTURI) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) turut memberikan diskaun kadar tol sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56.

Pengurus Besar Operasi KESTURI Ong Chee Keong berkata diskaun kadar tol itu adalah sebanyak 10 peratus untuk semua kelas kenderaan sama ada tunai atau elektronik di ketiga-tiga plaza tol lebuh raya itu.

“Diskaun itu akan dilaksanakan mulai 30 Ogos ini iaitu bermula pukul 11.59 tengah malam sehingga keesokan harinya iaitu pada pukul 12 tengah malam,” katanya.

Dalam pada itu, pihak KESTURI turut bekerjasama dengan pihak Touch N Go Sdn Bhd (TNGSB) untuk mengadakan jualan kad Touch N Go pada harga istimewa iaitu RM10 bagi setiap kad yang mengandungi nilai RM5 dan kad itu dijual di lorong tunai Plaza Tol Sentul Pasar, katanya.

– Bernama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

IKLAN