Usah merungut

Merungut itu bukan tak boleh, tapi kalau dah banyak sangat merungut, masalah jugak.

Masalah untuk diri sendiri dan orang persekitaran jugak. Mood kita yang tengak baik dan positif pun boleh jadi terikut-ikut dengan perangai orang yang suka merungut ni.. Jadi pesanan untuk diri sendiri dan semua.. Kurangkan merungut… Banyakkan senyum… 🙂

Terlampau Banyak Rungutan Adalah ‘Tidak Sihat’?

Oleh Zulkiple Ibrahim

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) — Waktu ketika itu adalah baru 7.30 pagi hari Isnin, hari pertama dalam satu minggu.

Oleh kerana, itu adalah hari bekerja yang pertama pada minggu berkenaan selepas hari cuti panjang hujung minggu, kelihatan ramai orang sedang beratur di depan farmasi di sebuah hospital di sini baru-baru ini.

Walaupun 30 minit lagi masa untuk kaunter dibuka bagi menerima slip preskripsi ubat, sudah timbul keresahan daripada beberapa individu dalam garisan manusia yang beratur panjang di situ.

“Kenapa tidak buka awal?, “Tak tahukah orang ramai?” dan “Mereka sepatutnya letak lebih ramai petugas!”. Itulah antara suara sumbang, keluhan serta rungutan yang didengar dari kalangan mereka yang beratur itu.

“Dulu saya kuat bersungut dan suka buat aduan, tentang orang, perkara dan situasi antara lain. Tetapi saya sudah belajar bagaimana merungut tidak akan membantu saya,” jelas seorang surirumah yang turut beratur dan yang mahu dikenali sebagai Lim.

TEKANAN

Lim, 60, ibu kepada empat orang anak dari Taman Paramount di Petaling Jaya berkata ‘merungut’ boleh menimbulkan tekanan dalam jiwa dan raga.

“Ini adalah tidak baik untuk kesihatan, kerana sikap negatif bertindak seperti racun dalam badan dan minda. Bila anda bersikap negatif, ia boleh mengeruhkan perhubungan peribadi,” kata bekas ahli perniagaan itu.

Menurut Lim, sikap negatif boleh mengaburkan pandangan seseorang terhadap hal yang sebenarnya.

“Inilah caranya bagaimana sikap negatif boleh bertindak bagaikan racun terhadap pemikiran. Bila orang mula merungut, mereka sebenarnya meletakkan diri mereka dalam keadaan resah, dan apa yang difikirkan adalah mengenai masalah mereka dan bukan perkara mengenai orang lain.

“Mereka akan memikirkan yang buruk-buruk sahaja manakala semua yang baik-baik akan hilang begitu sahaja,” kata beliau.

Kata Lim lagi, mereka yang suka merungut sebenarnya membawa tekanan beban emosi yang tinggi di atas bahu mereka.

“Memikul beban pemikiran dan emosi yang tinggi akan menghalang anda dari memberi tumpuan terhadap benda-benda yang perlu dilakukan sekarang.” tambah beliau.

FOKUS TERHADAP SESUATU ‘TIDAK BAGUS’

Menurut aktivis sosial dan konsumer Gurmukh Singh terdapat situasi yang aduan atau rungutan perlu dibuat dan ada masanya kalau tidak dibuat aduan, kita akan dianggap hanya melihat sesuatu masalah sebagai ‘remeh’ sahaja.

“Sebenarnya membuat aduan atau rungutan adalah reaksi spontan terhadap satu perasaan di mana anda rasa tertekan. Bila anda merungut tentang sesuatu, maknanya anda sedang memberi fokus kepada sesuatu situasi yang tidak bagus.

“Memberi fokus terhadap sesuatu yang tidak bagus sememangnya perlu untuk beberapa situasi tetapi perbuatan ini bukan sesuatu yang menyeronokkan,” kata beliau.

Katanya tabiat suka mengadu dan merungut akan membawa individu itu ‘jauh’ dari erti sebenarnya kehidupan.

“Setiap hari dalam hidup, ada banyak benda yang perlu perhatian. Banyak juga perkara yang kita lupa pada setiap hari seperti memberi senyuman, pujian, ucapan terima kasih dan kejujuran.

“Bila kita merungut, kita akan tidak punya masa bagi perkara-perkara bagus seperti diperkatakan tadi. Jika kita tidak berhenti mengeluh dan bersungut, kita akan terlepas perkara penting dalam hidup,” nasihat beliau.

TIDAK BERFIKIR SECARA KREATIF

Bagi ahli akademik Yunus Ibrahim, tabiat suka membuat aduan adalah satu tabiat yang membuang masa.

“Setiap kali anda membuat aduan, anda bukan berfikir secara kreatif. Anda akan melencung dari perspektif menyediakan dan mencapai matlamat dan ia sebenarnya membuang masa.

“Sebenarnya setiap masa anda fikir bagaimana nak mengadu, ada baiknya anda gunakan secara kreatif untuk sesuatu yang lain seperti cara menyelesaikan masalah dan bagaimana mempertingkatkan kehidupan,” kata beliau.

Yunus berkata, tabiat suka mengadu memerlukan tenaga fizikal serta fisiologi yang banyak.

Bagi beliau, merungut bukanlah sesuatu yang positif dan segala tenaga akan hilang begitu sahaja.

“Lagi negatif seseorang itu berada, semakin kuranglah tenaga kreatifnya. Bila individu itu berhenti daripada tabiat suka merungut, ini akan membebaskan beliau dari sifat negatif yang sebenarnya tidak diperlukan, dan ini akan membuat beliau punya banyak tenaga,” tambah Yunus.

HENDAK MENGADU ATAU TIDAK?

Bagi Gurmukh, tidak membuat sebarang aduan tidak bermakna menerima sesuatu secara pasif.

“Kalau ada sesuatu yang menganggu dan anda rasa perlu berbuat sesuatu, maka lakukanlah. Tetapi anda harus sedar bahawa membuat aduan tidak bermakna mendapat satu tindakan berkesan dengan mudah. Kadangkala ia membuatkan lebih susah untuk fokus terhadap sesuatu yang perlu dijalankan.

“Mengadu hanya akan menambah ego, ego adalah punca kesengsaraan dan konflik. Selagi ia tidak dapat bertapak (dalam diri) maka lebih senang kita tak tersentuh secara peribadi,” kata beliau.kita

(Ego adalah sebahagian daripada sikap individu yang membawa makna personaliti).

Katanya lagi, tabiat suka mengadu boleh berjangkit dan mudah ketagih.

“Melainkan anda sentiasa waspada dan peka terhadap apa yang berlaku dalam diri anda, tabiat ini akan memudahkan tindakan orang lain memberi kesan ke atas kehidupan anda secara langsung. Jika anda terus menerus bersungut dan merungut, anda akan menyebarkan kesan yang tidak sihat kepada orang lain.

“Anda akan mempengaruhi orang di sekeliling anda dengan cara yang tidak akan membantu mereka, tidak akan buat mereka bahagia,” tambah Gurmukh.

— BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

IKLAN